Sunday, April 3, 2011

PENDAMPING PALING UTUH

Tak terucap apa-apa ambo bila tgk catitan ini. Cuma hati kecil ambo berdoa agar dapat peluang mengikut amalan Tok Wan...


Dalam keadaan kita berlumba-lumba mencari ilmu kebatinan, ilmu kanuragan, ilmu dalam, ilmu jurus dan pelbagai lagi istilah, kita terlupa bahawa segala ilmu terletak di bawah ilmu Tauhid. Kenal akan Zat-Nya. Ambo tidak berhajat nak berbicara berkenaan hal ini kerana ambo bukan ahlinya. Tetapi ambo cuma teringat, tilik balik diri, antara tahap diri ambo sebelum dan selepas berjinak-jinak dengan "ilmu kebatinan" dalam persilatan.

Dulu masa dok tengah semangat, Allah bagi peluang, bagi can kita rasa betapa manisnya iman. Betapa nikmatnya Zikir itu. Betapa hibanya dapat bertahajjud. Betapa sakinahnya membaca Al Quran. Betapa jelasnya Zat Allah bila berzikir. Betapa gementarnya bila berdiri untuk bersolat. Tapi dengan masa yang bertambah, hati semakin keras kerana dosa. Nafsu semakin bermaharaja lela. Apatah lagi bila Allah uji kita dengan segala hajat kita dimakbulkan......

Berkata Tok Wan ambo. Dah 90 dah umurnya; "Ilmu kebatinan ni, yang mana boleh pakai, pakailah. Tapi kena ingat, ilmu ni bahaya. Sebab bila ilmu itu menjadi, kita mula akan berasa hebat. Mula berasa kepunyaan kita. Mula berasa sebab kita. Itu jatuhnya syirik". Dia berpesan pada ambo; "jaga Wudhu' dan jaga Al Quran. Solat dan Zikir harian tu wajiblah. Cuma kalau nak cari "Pendamping" buat kita hebat di dunia dan akhirat, tok soh (jangan) cari Pendamping selain dari Al-Quran. Awe ni dah berapa kali khatam Quran? Umur awe berapa?" Ambo jawab "tahun ni masuk 28 doh Tok We". Dia kata; "....sekarang ni kena 28 kali khatam Quran dah".

Ambo ternampak buku kecil tersisip di kitab Yasin kepunyaan Tok Wan. Ambo minta izin melihatnya. Ambo terharu melihat apabila ia adalah buku catatan bilangan khatam Al Quran sepanjang hidup Tok Wan. Dalam catatan sudah 100 kali khatam Al Quran. Tapi bilangan yang sebenar adalah 107 kali khatam. Ambo????? Berapa kali??? Jangan dikira bilangan sewaktu sekolah dulu, kerana itu waktu belajar. Bagaimana dengan waktu berfikiran sudah matang? Tidak pernah terfikir untuk mencatatnya.

Tok Wan cakap, mencatat bilangan ini bukan maksud utama. Tapi untuk mendisiplinkan diri agar istiqamah dalam amalan. Teringat ambo amalan Al Ikhlas 70 000 sewaktu tengah berhempas pulas nak habiskan dulu. Bila dah habis baru sedar bahawa bukan 70 000 itu penamatnya. Penamatnya bila nafas terakhir keluar..... Bukan banyak mana dapat khatam Al Quran itu yang dikejar. Tetapi yang dikejar ialah Al Quran menjadi amalan harian kita, setiap masa....

Al Quran ni akan berhujjah untuk kita. Al Quran ini yang akan membela kita. Al Quran ini yang akan menjadi sebab kita dipakaikan mahkota, yang sinarnya mengalahkan sinaran matahari. Dengan kata lain... berdamping lah dengan Al Quran.....

*****entry ini ditujukan khas buat saudara shaiful hakim.
jangan cakap saja bro. Allah..... 8_( *****

1 comment: