Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Silat Seni Gayong adalah seni tempur yang tidak bertari. Ia bukan seperti Silat Kelantan yang punya langkah sembah, langkah tiga langkah empat dan juga bertapang. Ia adalah silat tempur dan perang. Asal namanya Silat Seni Sendi Harimau. Ilmu koyak-mengoyak musuh, bagai harimau membaham mangsa.
Tapi persoalannya, kenapa adanya Tari Bunga Tanjung? Kenapa wujudnya Tari Bunga Teratai? Dari tari kita namakan Jurus, dari jurus kita namakan Gerakan. Coretan kali ini bukanlah hasil firasat dan pemikiran ambo. Tapi cerita ini diceritakan oleh Pak Ngah Izahar di Batu Kurau. Beliau juga membawa ambo dan sahabat-sahabat "menitih" dan mendengar sendiri cerita berkenaan kedua tari ini...
Al-kisahnya bermula di waktu Dato' sudah menetap di Singapura. Di Perak pada waktu itu dianjurkan oleh pihak Istana satu pertandingan Tari Sembah. Satu Guru tua dari silat kampung menang dalam pertandingan itu. Tarinya bernama Bunga Teratai dan Bunga Tanjung. Berita ini disiarkan di dalam surat khabar, dan sampai pada Dato' Mahaguru....
Di waktu itu, Guru tua itu yang bernama Pak Lang Joned, masih mengajar macam biasa di gelanggangnya. Adanya di gelanggang itu antaranya ialah anak muda bernama Izahar, dan anak guru tua itu sendiri bernama Junuh (ambo rasa mungkin Yunus. Sekarang ambo panggil Pak Junuh). Tanah di Batu Kurau itu masih belum berturap. Tiba satu kereta, penuh dengan lumpur tanah berwarna merah. Maka ketika itulah anak muda Izahar ini melihat pertama kalinya susuk tubuh seorang Mahaguru. Mahaguru dari Silat Seni Gayong yang terkenal di seantero Malaya waktu itu.
Meor Rahman diperkenalkan dirinya. Salamnya disambut mesra oleh guru tua Pak Lang Joned itu. Mereka bertitih nasab keturunan, dan bertemu punca, sedarah sedaging juga kedua-duanya. Mahaguru Meor Rahman menyampaikan hajatnya, "meminang" Tari sembah Teratai Tanjung untuk perguruannya. Maka di situlah mulanya bertapak Gayong di tanah serimbun.
Bunga Teratai dan Bunga Tanjung ditatang ke Singapura. Dijaga rapi, diperelok. Diperhalusi oleh Mahaguru dan diperturunkan pada murid-murid kanannya. Ada sebab kenapa Meor Rahman memilih sembah ini. Itu haknya, yang hanya tinggal sedikit guru tua sahaja yang mengetahui sebabnya. Dari situ lahirlah Bunga Teratai dan Tanjung di Singapura. Dari Singapura, kecantikan dan keharuman kedua bunga ini menjadi igauan dan bualan. Dibawanya ke serata Malaya. Ke Kedah ia tiba, ke Selangor ia pergi, dan ke Perak ia kembali. Dari negeri-negeri ini, ia tersebar ke serata tanahair. Termasuklah ke negeri hamba tanah Serendah Sekebun Bunga Cik Siti Wan Kembang.
Ada rahsia dalam tari ini. Ada jurus tersusun, yang tersurat dan yang tersirat. Gerakannya adab Melayu. Mulanya tauhid ilAllah, menyuci diri mencari Haq. Jangan lupa cerita Hang Tuah, pandainya melangkaui zamannya. Geraknya penuh isi, nafasnya penuh zikir.
Kami dibawa bertemu Pak Junuh, ayahandanya Pak Lang Joned sudah lama kemali ke rahmatullah. Beliau sendiri sudah terbaring di katil. Tapi kedatangan kami disambut dengan gembira, digagahkan segala urat sendi untuk berbual dengan kami. Diceritakan jua pengalamannya pertama kali bertemu Mahaguru.
Ada pun, Bunga Teratai dan Bunga Tanjung banyak versinya di zaman ini. Itu tidak salah. Ambillah, pelajarilah. Kerana semua nya dari Mahaguru. Ceduklah sebanyak-banyaknya rahsianya dan amal dan mahirkanlah. Cuma kadang-kadang, elok juga mencari pokok asalnya. Boleh diperbandingkan dengan hak diri. Yang kurang kita tambahkan, yang cacat kita perelokkan...
versi Pak Hussin betul, versi Cikgu Majid betul, versi arwah Cikgu Ahmad Lazim betul, versi arwah Cikgu Siti betul, versi arwah Cikgu Razali pun betul. tepuk dada tanya selera. ambo suka makan semua.... ;)
yang silap dan salah maklumat itu kerana kelemahan ambo. mohon maaf dan ampun. apo yang baik datang dari Allah, yang buruk datang dari nafsu ambo sendiri...
Salam Sembah Teratai dan Tanjung,
...ambo hok masih belaja...
...ambo hok masih belaja...
silat sembah sultan namanya..bawah dinamakan teratai..atas dinamakan tanjung..teratai dan tanjung di panggil hanya bila dimasukkan dalam Gayong...
ReplyDeleteBetul
ReplyDeleteSlm, terimakasih atas info..
ReplyDeletesama2... yg salah dan silap itu dari ambo. yg betul dan elok dari Allah swt...
ReplyDelete