(Photo semasa lawatan ke Pameran Pedang Nabi s.a.w & PSSPGM)
Universiti adalah institusi yang menghasilkan graduan dalam pelbagai bidang. Apabila para graduan dapat menamatkan pengajian dengan baik selepas melepasi segala ujian yang diperlukan, maka sijil graduasi akan dianugerahkan, bergantung kepada markah setiap graduan. Adanya tahap untuk seperti kelas 1, kelas 2 dan kelas 3, adalah untuk mengklasifikasikan graduan mengikut pemahaman mereka dalam ilmu yang diperlajari.
Selepas graduasi, maka tiba masa untuk setiap graduan ke alam professional. Sewaktu inilah cabaran baru yang mana praktikal melebihi teori. Hakikatnya, sebagai contoh, seorang graduan dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa hampir pasti tidak akan menemui kerja sebagai jurutera aeroangkasa di Malaysia, tetapi tetap boleh bekerja dalam bidang kejuruteraan lain di industri atau bidang akademik, memandangkan asas kejuruteraan itu sama sahaja.
Semua itu hanya kerana ilmu yang dipelajari telah diuji di akademi yang ternama dan diiktiraf oleh golongan akedemik universiti terbabit yang mana adanya kawalan kualiti dari masa ke semasa. Itulah yang dikejar oleh kebanyakan universiti baru yang mana memerlukan akreditasi dari pihak tertentu sebagai penanda kualiti pedagoji, kajian dan graduan mereka.
Itu situasi di Universiti.
Seandainya kita pula mahu menjadikan pengajian Silat Seni Gayong mempunyai standard yang bagus sebagaimana yang ditinggalkan oleh Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman, maka Ujian itu juga perlu. Kenaikan Bengkung itu perlu. Bahkan, penganugerahan Sandang juga adalah perlu untuk pihak yang layak. Kerana setiap ilmu itu perlu diuji dan diakui sah oleh penguji yang sudah pasti mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut.
Silat Seni Gayong menyaksikan bagaimana Dato' Meor Abdul Rahman telah menguji setiap muridnya, tetapi ada juga yang diberi anugerah Bengkung dan Sandang. Itu adalah Hak mutlak Mahaguru. Kerana beliau mempunyai ilmu dan firasat berkenaan kebolehan setiap muridnya. Tetapi generasi kini tidak boleh sama sekali mengamalkan budaya menganugerahkan Bengkung. Secara logiknya, Bengkung itu melambangkan tahap pengajian ilmu seseorang. Maka apalah gunanya menganugerahkan Bengkung, walhal ilmu itu belum diuji masak atau belum pelajaran tersebut.
Sandang boleh dianugerahkan, tetapi perlu diingatkan, Sandang juga ada Sandang Adat, Sandang Jawatan, Sandang Gurulatih dan Sandang Kehormat. Kalau dianugerahkan Sandang Gurulatih pada yang tidak pandai bersilat, yang mana hanya dikatakan "berjasa", maka punahkan daulat Sandang tersebut. Kerana siapa yang memakai sandang tersebut mesti seorang yang pandai bersilat, boleh mengajar, bahkan boleh memimpin pasukan demonstrasi. Kalau faktor umur yang diambil kira, dan seseorang itu punya pengetahuan yang mendalam dalam adat resam Gayong, maka elok dianugerah sahaja sandang Adat. Paling mudah, anugerahkan sahaja Sandang Kehormat. Itu lebih Adil, yakni meletakkan benda kena pada tempatnya. Seandainya pihak yang mempunyai kuasa memberi sandang ini tersilap menilai, maka pincanglah adat....
Berbalik kepada Bengkung. Bengkung hanya sehelai kain yang dijahit. Tiada nilainya secara meterial. Kerana itu orang-orang lama tidak meletakkan nilai pada warna Bengkung. Kerana itu orang-orang yang faham tentang nilai ilmu tidak gilakan Bengkung. Kerana yang dicari hanya keberkatan ilmu itu, yang berupaya mendekatkan diri kita pada Allah, dan menjaga maruah diri, keluarga, agama, bangsa dan tanahair kita apabila diperlukan.
Tetapi, bagi golongan muda, yang rata-rata sudah pandai di zaman kini, perlu kembali kepada konsep ilmu yang diuji. Kerana itu, UJIAN untuk setiap bengkung adalah WAJIB untuk menjaga kualiti. Bukan dengan hanya menghadiri kursus maka Bengkung diberi. Datang kursus, tetapi pelajaran kursus itu perlu diuji di hari terakhir. Dengan cara ini sahajalah maka kualiti Gurulatih itu dapat dijaga.
Dan setiap dari kita perlu juga kembali kepada budaya timba mencari perigi. Perlunya merantau untuk mencari guru, ilmu dan sahabat. Perlunya dibuang segala sentimen kaum, golongan, kumpulan dan pertubuhan. Mungkin secara pentadbiran dan "di atas kertas", kita tergolong kepada pertubuhan tertentu, tetapi pencarian ilmu perlu menjangkaui batas pentadbiran. Kerana ilmu itu hak Allah. Kerana mencantumkan perhubungan itu kewajipan setiap antara kita. Buang sifat ketaksuban pada satu guru. Segala percakapan kurang enak tentang satu-satu guru itu kita angguk sahaja, tapi biar ia pergi lesap dalam udara. Tapi sebelum dapat menilai satu-satu guru, apa salahnya kita pergi dulu bertemu "mengambil rasa"... bukankah itu satu perbuatan yang afdhal dan mulia?
Mungkin pertubuhan kita berbeza. Mungkin keahlian kita berlainan. Tetapi satu-satunya tempat untuk setiap Anak Gayong berjumpa dan bergabung ialah di majlis-majlis ilmu. Perhimpunan atas dasar pengajian ilmu inilah satu-satunya jalan yang masih ada untuk menjadikan Gayong ini bersatu padu. Kerana dengan berhimpun di dalam majlis ilmu, kita bersama-sama menumpahkan peluh dan darah, bersepak terajang, bertikam senjata, dan mengenali hati budi antara satu sama lain. Selepas selesai "berkursus", ikatan persaudaraan semakin erat, hormat dan sayang semakin meninggi, dan saling mempercayai wujud antara saudara segayong...
Kerana itu, ambo secara peribadi berpendapat, selagi setiap Anak Gayong dapat berkumpul menimba ilmu dari Guru-Guru Tua tanpa mengira lambang pertubuhan, asalkan selagi murid Silat Seni Gayong, maka cita-cita untuk Gayong Bersatu itu tidak mustahil. Ambo sentiasa memegang prinsip itu. Ambo sentiasa memperjuangkan cita-cita itu. Ambo sentiasa impikan penyatuan itu di satu hari. Cuma Ambo tertanya-tanya, adakah saudara-saudari sekelian juga sanggup memangku visi dan misi ini bersama Ambo dan saudara seperjuangan ambo???
Ambo memanggil balik, menegur secara terbuka saudara-saudara yang semakin lama semakin jauh dari perjuangan asal penyatuan. Semakin lama semakin terang perjuangan saudara saudara dalam menaikkan diri sendiri dan persatuan sendiri. Memperkasakan persatuan dan gelanggang adalah perlu, jalan politik Gayong yang dipilih pun tidak mengapa berbeza asalkan bergerak aktif, tetapi janganlah hanya kerana berbeza pertubuhan, murid-murid yang ikhlas mahu menuntut ilmu dan berguru dipulau dari duduk bersama mereka menimba ilmu. Tak apalah. Program demo, takkanlah ambo hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Doa ambo cuma ditambah rezeki, ditambah ilmu, dan ditambah silaturrahim...
Gayong Bercantum.... Bersatu Padu,
Mengingat Junjungan Empunya Seru,
Sama Sendiri Bantu membantu,
Selamat Sejahtera Hajat dituju...
Bila dihayati bait lagu Gayong itu, tanpa ambo sedar.... mengalir air mata ambo membasahi pipi. Di manakah pemimpin yang akan menyatukan kami...?
No comments:
Post a Comment