Kuantan,31 Mac - Institusi kefeloan universiti bertanggungjawab dalam mengggalakkan aktiviti, pengurusan kemudahan pembelajaran dan kebajikan terhadap penghuni kolej kediaman di universiti.
Institusi ini turut berperanan memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai aktiviti dan program berbentuk khidmat masyarakat sebagai usaha memasyarakatkan kampus melibatkan penghuni kolej kediaman mahupun Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman (PEKA) dengan masyarakat setempat.
Merealisasikan hasrat ini, seramai 26 orang staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang terdiri di kalangan Pengetua dan Felo Kolej Kediaman dari Institusi Kefeloan UMP (IKUMP) menganjurkan
program bersama Anak-anak Yatim Permata Camar dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (SAffAD).
Pengerusi Majlis Pengetua UMP yang juga Pengetua Kolej Kediaman 2, Mohd. Zulkifli Mohamad Noor berkata program yang buat julung kalinya diadakan ini diadakan bersempena Bengkel Pemantapan Felo yang diadakan baru-baru ini.
“Pendedahan dengan anak-anak ini merupakan satu program mendekatkan hubungan felo dengan anak yatim dengan menjalankan aktiviti khidmat sosial seperti yang terkandung sebagai salah satu modul dalam pemantapan felo ini.”
“Program ini dapat memberi peluang dan latihan di kalangan felo ketika berdepan dengan mahasiswa yang mempunyai pelbagai latar belakang keluarga termasuk yang pernah menjadi penghuni rumah anak yatim,” katanya.
Dalam program yang sama peserta seramai 36 turut mengambil bahagian dalam program gotong-royong dan sukaneka. Antara acara yang diadakan ialah rebut gula-gula dlm tepung, belon air, pindahkan gegelung getah dengan straw minuman, bawa gula-gula dengan sudu dan isi air dalam baldi menggunakan straw.
Pengetua Kolej Kediaman 4, Mohd Najib Razali yang baru pertama kali datang ke Rumah Permata Camar menyifatkan program seumpama ini sangat baik terutamanya dalam menjalinkan ikatan kekeluargaan di kalangan penghuni di sini.
“Mereka mempunyai cita-cita yang tinggi, malah saya kagum dengan aspirasi anak-anak ini yang antaranya ingin menjadi Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melihat begitu banyak amalan rasuah ketika,” katanya yang berkongsi pengalaman semasa sesi perkenalan.
Penghuni Rumah Permata Camar, Mohamad Hanif Azree Mohd. Affendi, 15 tahun yang bercita-cita menjadi Ustaz menyatakan seronok dapat bertemu dan bermesra dalam program yang dijalankan. Malah, rakannya Haris Mohamad, 12 tahun yang bercita-cita menjadi pemandu kapal terbang berkata, kunjungan staf UMP ini memberikannya semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.
IKUMP berhasrat melibatkan Perwakilan Kolej-kolej Kediaman (PEKA) dan Kelab serta Persatuan dalam penganjuran program khidmat komuniti sebagai usaha mencapai bidang Keberhasilan Utama Universiti (KRA ) ketiga berkaitan Pembangunan Sosio-Ekonomi dalam Pelan Strategik UMP 2011-2015.
|
Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 05-04-2012, 14:22:55 |
from : http://community.ump.edu.my/ecommstaff/includes/viewNewsToPublic.jsp?ref=5767
No comments:
Post a Comment